BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, 14 July 2009

Cara Tidur RASULULLAH

Dalam sebuah hadis diterangkan: "Al-Barra' bin Azib r.a. berkata: "Adalah Rasulullah s.a.w. jika akan tidur, miring ke sebelah kanan kemudian Baginda membaca: Maksudnya : "Ya Allah aku serahkan diriku kepadaMu dan menghadapkan mukaku kepadaMu dan menyerahkan semua urusanku kepadaMu, dan menyandarkan punggungku kepadaMu kerana mengharap dan takut kepadaMu, tiada perlindungan dan tiada tempat selamat daripada seksaMu kecuali kembali kepadaMu. Aku percaya kepada kitab yang Engkau turunkan dan Nabi yang telah Engkau utus". (Hadis riwayat Bukhari)

Menurut sebuah hadis lagi riwayat Bukhari dan Muslim: "Jika kamu akan tidur maka berwudhu'lah bagaikan kamu akan sembahyang, kemudian berbaring atas pinggang kanan dan bacalah do'a ini (seperti do'a yang tersebut di atas) dan jadikanlah bacaan do'a itu yang terakhir daripada bacaanmu (perkataanmu)".

Maksud hadis : "Daripada 'Abbad bin Tamim, daripada bapa saudaranya, bahawasanya Rasulullah s.a.w. tidur terlentang di masjid sambil meletakkan satu kaki di atas yang lain." (Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Tidur adalah dianggap sebagai ibadat seorang hamba kepada Penciptanya, iaitu sekiranya seseorang itu tidur dengan melakukan saranan-saranan dan mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.

Dalam sebuah hadis daripada Huzaifah katanya: "Nabi s.a.w. apabila Baginda berbaring di tempat tidurnya, Baginda berdo'a (Ya Allah, dengan namaMu aku mati dan aku hidup) dan apabila bangun Baginda membaca: (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepadaNyalah tempat kembali)."

"Daripada 'Aisyah r.a. katanya: "Nabi s.a.w. apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam Baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdo'a), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian Baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dapat disapunya mulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. (Diriwayatkan oleh at-Tirmizi)

Selain itu sebelum tidur Baginda menunaikan sembahyang Witir sebagaimana hadis yang menyebutkan: "Nabi s.a.w. juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur. Oleh itu umat Islam adalah dianjurkan supaya mengamalkan sembahyang witir setiap kali sebelum tidur." (Hadis riwayat Bukhari)

Ketika Baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, Baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum Baginda tidur semula.

Sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda: "Syaitan akan mengikat hujung kepala seseorang yang sedang tidur dengan tiga ikatan, menyebabkan kamu tidur dengan cukup lama. Apabila seseorang di antara kamu bangkit seraya menyebut nama Allah, maka akan terlepaslah ikatan yang pertama. Apabila dia berwudhu' maka akan terbukalah ikatan yang kedua. Apabila dia sembahyang maka akan terbukalah ikatan semuanya. Dia juga akan merasakan suatu kesegaran dan ketenangan hati, jika tidak dia akan merasa malas & kekusutan hati." (Diriwayatkan oleh Bukhari)

Demikian antara cara tidur Rasullullah s.a.w. untuk menjadi amalan kita.

Habbatus Sawda

Selain menjaga permakanan dan melakukan senaman, ubat juga memainkan peranan terutama jika ada penyakit. Tahukah kita bahawa salah satu amalan yang baik untuk tujuan perubatan dan kesihatan ialah dengan mengamalkan 'al-Habbah as-Sawda' sebagai ubat?

Di dalam sebuah penelitian yang berjudul 'Islam dan Masalah-Masalah Abad Dua Puluh' yang ditulis oleh Abdul bin Abdullah, katanya Rasulullah s.a.w. telah pun menyebutkan 400 hadis tentang perubatan.

Di dalam kamus al-Mu'jam al-Wasit disebutkan, sebahagian daripada nama-nama al-Habbah as-Sawda ialah al-Mubarakah dan as-Syuniz. Sejenis rumput, berwarna hitam dan bermusim tahunan, dan ia termasuk dalam jenis Nigelle dan Ranunculus. Al-Habbah as-Sawda' tumbuh di Mesir dan negara-negara sekitar Laut Tengah dan India. Ia juga dikenali dengan nama 'Bijiran Hitam'. Daun-daunnya kecil-kecil serta halus, bunganya berwarna biru, buahnya berbungkus, dan di dalamnya terdapat biji kecil berwarna hitam yang boleh dipergunakan sebagai ubat.

Dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w, sejak 1400 tahun lagi sudah menyatakan berkenaan dengan perubatan, khususnya mengenai al-Habbah as-Sawda. Antara hadis Baginda bermaksud : "Sesungguhnya, al-habbah al-Sawda' boleh menyembuhkan segala penyakit kecuali as-Sam. "Aku bertanya : " Apakah as-Sam itu ?" Baginda menjawab : As-Sam ialah maut!" (Hadis riwayat Bukhari)

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa dia pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda seperti berikut : Maksudnya : "Tetaplah dengan Habbah as-Sawda ini sesungguhnya ia mengandungi ubat bagi segala penyakit, kecuali as-sam atau mati". (Hadir riwayat Tarmizi)

Mengikut penemuan yang mutakhir, bahawa bijiran hitam dapat mengaktifkan sistem daya tahan tubuh dimana ianya dapat menambahkan kekuatan badan untuk melawan sebab-sebab datangnya penyakit dan sekaligus menghapuskannya, dan dengan mengambil minyak bijinya secara berterusan akan memelihara kita daripada penyakit.

Doktor Abu Ali Al-Husain bin Abdullah bin Sina atau lebih dikenali dengan nama Ibnu Sina di dalam bukunya al-Qanun fi Al-Tibb berkata : "Sifat-sifat as-Sawda ialah pedas rasanya, kering, panas, boleh membuang kelenjar angin daripada tubuh, selain boleh membersihkan perut, mengubati jerawat, panau dan menyembuhkan bengkak-bengkak."

Banyak penyelidikan dan pengkajian telah dilakukan terhadap al-Habbah as-Sawda oleh berbagai universiti. Sebagai hasilnya mereka mendapati bahawa pada biji ini terdapat ubat yang boleh mengubati penyakit sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis-hadis Rasulullah s.a.w.

Dr.al-Dakhokhini dan Dr.Mahfuzh, keduanya pensyarah Kuliah Perubatan di Universiti Iskandariyah, Mesir telah membuat kajian selama lima tahun dan mendapati ia sangat berkesan untuk mengubati penyakit lelah.

Antara penyakit yang boleh sembuh dengan mengambil minyak al-Habbah al-Sawda :

* Mencergaskan ingatan dan cepat faham.
* Sakit Lumpuh.
* Menghancurkan batu karang.
* Mengubati ampus dan sesak nafas.
* Mengubat batuk dan asma.
* Mengubat sendi dan lelah.
* Mengubat penyakit kencing manis.
* Mengubat penyakit buah pinggang dan pundi-pundi kencing.
* Muntah dan mual.
* Mengubat radang hati dan sempit urat darah.
* Mengubat sakit kepala.

Jadi bagi orang yang mahu sentiasa sihat, hendaklah dia menjadikan minyak al-Habbah as-Sawda sebahagian daripada hidangan sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam dengan cara mengambil sedikit minyak al-Habbah as-Sawda dengan sedikit madu, atau rebusan air daun pudina, atau dengan jus limau (orange juice) atau dengan segelas teh.

AIR ZAM-ZAM : Kelebihan Dan Adab Meminumnya!

Rasulullah s.a.w. bersabda : Ertinya: "Air Zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan atau dikehendaki." (Diriwayatkan dari Jabir, lbnu Abbas, lbnu Umar dan Muawiyah)

Ahli-ahli ilmu telah meluaskan huraian mereka mengenai dengan hadis di atas. Al-Munawa Rahimahullah Ta'ala telah berkata: "Air Zam zam ialah penghulu segala air, paling mulia, paling berharga dan paling disukai. Allah Ta'ala telah memberi minum dan menolong putera kekasihnya, Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim a.s. dengan air Zamzam. Maka begitulah pertolongan yang seperti itu juga boleh diperolehi oleh orang-orang yang selepas baginda, iaitu bagi sesiapa sahaja yang meminumnya dengan niat ikhlas, termasuk juga kita. Ramai para ulama telah meminumnya kerana sesuatu hajat, dan mereka itu berhasil memperolehinya."

Disebut oleh pengarang kitab 'al-'Aqdus Sameen, bahawa Ahmad bin Abdillah Asy-Syarifee, seorang khadam di Tanah Haram Mekah telah meminum air Zamzam dengan niat dan tujuan untuk berubat daripada buta. Lalu (dengan izin Allah) beliau itu sembuh. Menurut pengarang kitab ini lagi, bahawa kejadian ini dikhabarkan sendiri oleh gurunya, al-Fufti Abdul Rahman bin Abil Khair alFasi.

Berkata al-lmam an-Nawawi Rahimahullah sebagai mengulas hadis di atas: "Maknanya, barangsiapa yang minum kerana sesuatu hajat, nescaya memperolehi hajatnya itu, Hal ini, telah dicuba oleh para ulama dan orang-orang soleh bagi segala hajat mereka, sama ada hajat akhirat mahupun hajat dunia, dan Alhamdulillah, semuanya telah memperolehinya." (Lihat Tahzibul Asma Wal~Lughat 3/139).

Al-'Allamah lbnul Qayyim al-Jauziah pula berkata: "Saya dan juga orang-orang lain sudah pun mencuba berubat dengan air Zamzam. Saya telah berubat dengannya dalam banyak penyakit, dan sembuh dengan izin Allah. Demikian juga saya sudah menyaksikan orang yang menggantikan makanan biasa dengan air Zamzam hampir setengah bulan atau lebih , tetapi tidak merasa lapar. Bahkan dia juga tawaf bersama orang ramai, mampu menggauli isterinya dan berpuasa."

Menambah lagi al-'Allamah: "Telah berlaku kepada diri saya sewaktu di Mekah, saya jatuh sakit, dan pada masa itu benar-benar ketiadaan ubat dan doktor. Maka saya pun berubat sendiri dengan al-Fatihah. Saya ambil air Zamzam, dan saya bacakan di atasnya berulang kali, kemudian saya minum, lalu saya mendapati kesembuhan yang sempurna. Semenjak itu saya melakukannya atas banyak penyakit dan semuanya memberi sebesar-besar manfaat." (Lihat Zadul Ma'ad 4/718)

Berkata pula AI-Hakim: "Bahawa Abu Bakar Muhammad bin Jaafar telah bercerita tentang diri lbnu Khuzaimah (lbnu Khuzaimah ialah seorang ilmuan besar), katanya: "Saya telah mendengar orang bertanya kepada lbnu Khuzaimah: "Dari manakah tuan memperolehi ilmu? " Menjawab lbnu Khuzaimah: "(Bukankah) Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: "Air Zamzam itu diminum mengikut apa yang diniatkan?" (Lihat Sairul A'Iam anNubala14/370).

Jika diperhatikan dengan sehalus-halusnya keterangan di atas, maka nyatalah yang amat mustahak itu ialah niat dan keimanan yang seikhlas-ikhlasnya untuk mengiringi perbuatan minum itu. Tidak memadai setakat minum semata-mata tanpa niat dan tanpa yakin terhadap iradat dan kudrat Allah yang menunaikan hajat kita. Kerana itu minum yang kosong daripada niat dan keyakinan mungkin sahaja tidak mendatangkan hasil, sesuai dengan maksud dan tujuan hadis yang disebutkan di atas.

ADAB MEMINUMNYA

Terdapat beberapa adab atau peraturan bagaimana meminum air Zamzam itu, antaranya:

Daripada Abdullah bin Abi Mulaikah, katanya: "Seorang laki-laki telah datang menemui lbnu Abbas. Lalu bertanya lbnu Abbas: "Tuan datang dari mana?" Lelaki itu menjawab: "Saya baru lepas minum air Zamzam".Tanya lbnu Abbas lagi: "Adakah tuan minum itu mengikut cara yang sepatutnya'?" Lelaki itu tidak menjawab, sebaliknya bertanya pula kepada lbnu Abbas: "Bagaimanakah caranya wahai lbnu Abbas?" Maka lbnu Abbas pun menjelaskan: "Apabila minum air Zamzam hendaklah menghadap kiblat, sebutkan nama Allah (baca Bismillah) dan bernafas di luar bijana, kemudian baru teguk lagi, dan (sesudah selesai minum) ucapkan pujian kepada Allah (baca Alhamdulillah). Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. ada bersabda: "Perbezaan diantara kita dan orang ramai(kaum munafik) ialah bahawa mereka itu tidak suka meneguk (minum) air zamzam." (Hadis riwayat Addara Qutni dan lbnu Majah).

Daripada 'Ikramah meriwayatkan, bahawa adalah lbnu Abbas r.a. apabila minum air Zamzam beliau berdoa (ertinya) : "Ya Allah ya Tuhanku! Aku bermohon kepadaMu supaya dikurniakan ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada segala penyakit." (Diriwayatkan oleh ad-Dara Qutni dan lbnu Majah).

Menurut riwayat, lbnu Abbas adalah terkenal seorang sababat yang sangat mendalam ilmunya, luas rezekinya dan tidak pernah sakit kecuali penyakit tua.

Syeikh Jamaludin Muhammad Jarullah bin Muhammad Nuruddin dalam kitabnya 'al-Jamiul Latif fi Fadhli Makkah' dalam bab Adab minum air Zamzam berkata: "Berkata seorang ulama, sesiapa yang hendak meminum air Zamzam, eloklah dia mengambil bekas yang berisi air Zamzam dengan mengadap kiblat, kemudian berkata: Ya Allah, sesungguhnya telah sampai kepadaku daripada nabiMu s.a.w. bahawa baginda bersabda: Maka Ya Allah, aku meminum air Zamzam ini untuk............. (sebutkan apa yang dikehendaki). Selepas itu diminum seteguk, kemudian bernafas diluar bijana itu, Dan begitulah dilakukan sebanyak tiga kali. Setiap kali meneguknya dibaca Basmalah dan setiap kali selesai dibaca Hamdalah.

Beginilah cara meminum air Zamzam yang diriwayatkan daripada lbnu Abbas dan doa yang di atas dibaca ketika meminumnya.